0

Tazkirah Ramadhan KP

BADAR AL KUBRA
Pertembungan antara
Iman dan Kufur

Ramadhan adalah merupakan Madrasah Jihad yang telah menyaksikan satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah kegemilangan Islam , iaitu al – Ghazwatul Badr al – Kubra .

Peristiwa yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan Tahun kedua Hijrah .( 13 March 624 Masehi ) ini adalah peristiwa yang menjadi mercu tanda kehebatan kalimah Tauhid di mata dunia.

Pertembungan antara tentera Muhammad saw. seramai 313 hingga 317 orang dengan tentera yang dipimpin oleh Abu Jahal ibnu Hisyam seramai 1300 orang [1] , menyaksikan pertarungan sengit dan mendebarkan.

Suatu pertarungan yang mendesak sehingga Baginda Rasul saw. menadah dan mengangkat tangan sehingga jatuh selindang di bahunya, baginda merintih dalam satu munajat yang masyhur: [2]

اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ . اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض

Ya Allah Ya Tuhanku , tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku. Ya Allah Ya Tuhanku , kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepada ku . Ya Allah Ya Tuhanku , Jika binasa battalion ini , nescaya tiada siapa lagi yang menyembahMu di dunia ini .

Perang Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah ini adalah merupakan satu cabaran besar dan tamparan hebat buat Islam yang dipimpin oleh baginda saw. sementara Negara Islam Madinah baru berusia 2 tahun penubuhannya.

Wajah Pejuang yang membawa pulang Kemenangan.

Rasulullah saw. mengambil langkah bermesyuarat terlebih dahulu dengan para sahabat rhm. dalam menentu sikap terhadap isu getir yang sedang dihadapi ummat Islam pada waktu itu.

Apakah para sahabat baginda saw. bersedia untuk berperang dalam keadaan mereka masih di peringkat awal membangunkan Negara Islam yang pertama itu ? atau merancang untuk mengelak dari peperangan ?

Ianya menjadi persoalan yang mesti dirungkai pada waktu itu dalam menentu sikap disaat getir . Nabi saw. memanggil para sahabatnya dari pihak Muhajirin dan Ansar untuk bermesyuarat.

Tanpa lengah , al Miqdad bin al Aswad dari pihak Muhajirin tangkas tampil mengeluarkan kenyataan :

يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ , وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى : اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ , وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ , فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ .

“ Wahai Rasulullah , teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama , demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa , pergilah kamu bersama tuhanmu , berperanglah kamu berdua , kami mahu tinggal di sini sahaja . Tetapi kami akan berkata : Pergilah kamu bersama tuhanmu , kami pasti akan berperang bersama kamu berdua , maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran.

Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghimad ( satu tempat yang jauh di Yaman ) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi .”

Rasulullah saw. memuji sikap tegas yang diambil oleh al Miqdad dan mendoakannya , lantas Rasulullah bersabda :

أَشِيْرُونِي أَيْهاَ النَّاسُ

“ Berilah pendapat kamu wahai Manusia ”

Tiba – tiba tampil Saad bin Muadz Rha. wakil dari Ansar lalu berkata :

وَاللهِ لَكَأَنَّكَ تُرِيْدُنَا ياَ رَسُولَ اللهِ

“ Demi Allah , seperti kamu mahukan kenyataan dari kami pula ya Rasulullah!”

Rasulullah saw. menjawab “ Ya ! ”

Lalu Saad bin Muadz menegaskan :

فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَ شَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَ مَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ , فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ , وَ مَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا , إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ . وَ لَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ

“ Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu , percaya kepadamu , kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji – janji dan ikatan kesetiaan . Kami sedia mendengar dan taat kepadamu . Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.

Maka demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran , kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun diantara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok .

Sesungguhnya kami adalah orang – orang yang sabar di medan perang , benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah – mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami , apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan . Marilah kita teruskan perjalanan , mudah – mudahan Allah memberkati kita .” [3]

Mendengar penegasan dari wakil kaum Ansar , Nabi saw terus bangkit dan mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju medan dengan sabdanya :[4]

سِيْرُوْا وَ أَبْشِرُوْا فَإِنَّ اللهَ تَعاَلى قَدْ وَعَدَنِيْ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ وَ اللهِ لَكَأَنِّي اْلآن أَنْظُرُ إِلى مَصَارِعِ اْلقَوْمِ .

“ Berangkat dan bergembiralah kamu , sesungguhnya Allah swt. telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan ( pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal ) Demi Allah , seakan – akan aku nampak tempat binasa mereka .”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .

Lahirnya peribadi pejuang yang kasihkan agama , semangat mempertahankan agama dan cintakan syahid sebagaimana al Miqdad dan Saad ibn Muadz dalam saf perjuangan Islam (pimpinan Rasulullah saw.) inilah membentuk satu kekuatan gerakan yang tiada taranya . Tidak mungkin mampu dirempuh oleh musuh durjana apatah lagi untuk mengaku tewas sebelum bertarung .

Begitulah kita lihat seorang sahabat yang bernama U’mair ibn al-Hummam , sejurus mendengar pidato Rasulullah saw :[5]

وَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ , لاَ يُقَاتِلُهُمُ الْيَوْمُ رَجُلٌ فَيَقْتُلُ صَابِراً مُحْتَسِبًا , مُقْبِلاً غَيْرَ مُدْبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ .

“ Demi ( Allah ) yang diri Muhammad di dalam genggamannya , Tidaklah seseorang yang berperang menentang mereka ( musyrikin ) hari ini lalu ia berperang ( berjuang ) penuh kesabaran dan penghayatan serta sedia menghadapi musuh tanpa gentar ( berundur ) melainkan Allah akan memasukkanya ke dalam syurga .”

Lalu U’mair mengatakan :

أَفَمَا بَيْنِيْ وَ بَيْنَ أَنْ أَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلاَّ أَنْ يَقْتُلَنِيْ هَؤُلاَء بَخٍّ , بَخٍّ

“ apa lagi yang berada antara aku dengan hasratku memasuki syurga jika tidak kerana mereka membunuhku.”

Kemudian U’mair terus mencampakkan beberapa biji tamar yang berada ditangannya ( yang siap untuk dimakan ) lantas mencapai pedangnya dan ia turun berperang sehingga ia mati syahid .

Wajah yang membawa pertolongan Ilahi dan kemenangan hakiki buat perjuangan Islam sebagaimana watak – watak di atas , membuatkan musuh mengalami kekalahan teruk dalam berhadapan dengan gerakan Islam ini .

Kemenangan seperti ini tidak hanya terhenti pada ghazwatul Badar , tetapi juga pasti akan berlaku di sepanjang zaman , seandainya kita dapat melahirkan watak – watak pejuang sebagaimana mereka .( golongan as – saabiquunal awwaluun )

Allah membantu HambaNya

Setelah baginda saw. bermunajat kepada Allah swt. memohon pertolongan bagi Islam dan ummatnya , maka Allah qabulkan munajat tersebut dengan firmannya :

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“ (ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu Dengan seribu (bala tentera) dari malaikat Yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

( Surah al – Anfaal : Ayat 9 – 10 )

Firman Allah swt lagi :

“ (ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" (perintah) Yang demikian ialah kerana Sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa Yang menentang Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .

Apa yang wajib kita belajar dari Ghazwatul Badar ini ialah :

Optimis bahawa pertembungan antara Iman dan Kufur pasti akan berlaku dan ia pastinya pula berpihak kepada Iman .

Jumlah ( kuantiti ) bukan menjadi perkiraan asas dalam menghadapi kekuatan musuh sebaliknya prestasi ( kualiti ) setiap individu muslim yang menjadi nilaian utama, apakah ia menepati kriteria muslim mujahid yang diredhai oleh Allah swt.

Kecintaan yang tinggi terhadap agama dan kerinduan yang mendalam untuk mati syahid menjadi prestasi utama untuk seorang muslim memiliki kekuatan luar biasa yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh musuh – musuh Islam . Mungkin jasad mereka boleh dibunuh namun Islam , agama yang mereka anut tidak sekali – kali dapat dibunuh .

Pergantungan yang tinggi kepada Allah swt. Justeru kemenangan adalah anugerah Ilahi sementara kita tidak berkeupayaan tanpa pertolongan daripadaNya .

Sabar dan Taqwa antara syarat kemenangan yang mesti dimiliki oleh setiap kita . Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

( Surah Aali Imran : Ayat : 200 )

Thabat ( tetap pendirian ) dan banyak mengingati Allah oleh para pejuangnya juga merupakan elemen utama yang menarik sokongan dan pertolongan Ilahi dalam setiap pertarungan antara iman dan kufur . Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“ Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). ”

( Surah al Anfaal : Ayat : 45 )

Jauhi sebarang anasir yang boleh merenggangkan hubungan dan meretakkan ukhuwwah sesama kita kerana ia menjadi satu lubang besar yang membolehkan segala jenis musuh Allah mencerobohinya dan ianya menjadi virus yang akan merosakkan kekuatan kita dari dalam . Firman Allah swt :

“ Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar. ”

Terbunuhnya Firaun Ummat ini .

Ibnu Ishaq menyebut dalam kitabnya Sirah an Nabawiyyah bahawa Muadz bin Amru bin Jamuh telah berjaya merempuh benteng yang dibuat dari lembing dan tombak untuk melindungi Abu Jahal sehingga Muadz berjaya menetak di tengah betis Abu Jahal.

Tiba – tiba anak Abu Jahal ( Ikrimah ) menetak leher Muadz dan terkena tangannya hingga hampir putus. Muadz akhirnya mengheret tangan yang terkulai untuk meneruskan peperangan dan apabila terasa sakit , ia memijak tangannya dan menyentap sehingga putus .

Kemudian Muadz bin A’fra’ menyerang Abu jahal dan berjaya menetaknya sehingga hampir maut . Sejurus itu , datang pula Abdullah bin Mas’ud memancung leher Abu Jahal lalu dibawa kepala Abu Jahal kepada nabi saw . lantas rasulullah saw bersabda :

الله الذي لآ إله إلا هو , الله الذي لآ إله إلا هو , الله الذي لآ إله إلا هو . الله أكبر , الحمد لله الذي صَدَقَ وَعْدَهُ وَ نَصَرَ عَبْدَهُ وَ هَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Kemudian Rasulullah saw. menyambung kenyataannya :

هَذَا فِرْعَوْنَ هَذِهِ اْلأُمَّةِ .

“ Inilah Firaun kepada Ummat Ini ”

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian :

Siapa kata Firaun tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah kalah ditangan Nabi Musa as.

Siapa kata Abu Jahal tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah tewas ditangan Nabi Kita Muhammad saw.

Siapa kata Rom dan Parsi ( kuasa besar dunia ) tidak boleh dikalahkan ? Bukankah kuasa besar itu tersungkur mencium bumi ditangan Saiyidina Omar al Khattab Rha.

Siapa kata benteng Kostantinapel tidak boleh diruntuhkan ? Bukankah Sultan Muhammad al Fateh telah berjaya menawan dan meruntuhkannya .[6]

Siapa kata tentera Solib tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah ditewaskan oleh Sultan Salahuddin al Ayyubi .[7]

Siapa kata Beruang Merah Soviet Union tidak boleh dikalahkan ? Bukankah mereka telah dihalau keluar dan dikalahkan oleh Mujahidin Afghanistan .

Siapa kata Israel tidak boleh dikalahkan ? Bukankah ia telah ditewas dan diaibkan oleh tentera Hizbullah yang hanya seramai 1500 orang .

Siapa yang kata Musuh Allah tidak boleh dikalahkan ?

Sejarah Kegemilangan Islam telah mengemuka jawapan yang jelas bahawa kebhatilan pasti hancur .

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

“ Dan Katakanlah:" telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara Yang salah (kufur dan syirik); Sesungguhnya Yang salah itu sememangnya satu perkara Yang tetap lenyap".”

( Surah al Israa’ : Ayat : 81 )

[1] Fiqhul Harakah fi Sirah an Nabawiyyah . Oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Jilid 2 / muka surat 60 – 62 . Cetakan DPF.

[2] At Tabari . Jilid 2 / muka surat 447 . al Bidayah wa an – Nihayah . Jilid 3 / muka surat 272 .

[3] Kisah ini diringkaskan dari pelbagai rujukan , antaranya : Sierah Ibnu Hisyam Jil. 2 / muka surat 187 . at Tabari Jil. 2 / muka surat 434 .

[4] Al – Bidayah wan Nihayah . Jil. 3 / muka surat 262 - 263

[5] Rujuk kisahnya di dalam Kitab al Jihadu fil Islam : Karangan Dr. al - Imam Abdul Halim Mahmud , di bawah tajuk : دور الإيمان في المعركة . M/surat 47 . Terbitan Darul Ma’arif Qaherah .

[6] Penawanan Costantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada th. 1453

[7] Pada tahun 1187 selepas 82 tahun terjajah oleh tentera Salib (1099-1187)

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
0

Iringan Doa Kejayaan

Nervous tak? Esok natijah, ya?

InsyaAllah. keputusan esok adalah keputusan terbaik. dh usaha, dh doa, dh tawakal pun, kan. apa pun natijahnya, terima dengan sabar, dengan hati yg penuh ikhlas & rasa syukur.

Keputusan ini adalah ujian; berjaya itu ujian rasa syukur, manakala gagal adalah ujian sabar.

Semoga lulus dengan cemerlang.

*saya tau, awak terbaik. :)
0

NUZUL AL-QURAN

Nuzul Al Quran bererti penurunan wahyu kalam suci yang Maha Agung Allah s.w.t. melalui Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pendapat sesetengah ahli sejarah dan ahli hadis, Al Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Proses penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk manusia sejagat di alam buana ini. Firman Allah s.w.t. “ Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran,menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeda antara haq dan batil…….” ayat 185 surah al Baqarah.

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak ada syak dan waham baginya seperti Firman Allah s.w.t. “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “ ayat 1-2 surah al Baqarah.

Penegasan kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “ ayat 23 surah al Baqarah. Golongan kuffar terus gagal menyahut cabaran Allah tersebut meskipun cabaran ini telah berlangsung semenjak 15 abad yang lampau!

Benarlah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruhNya sebagai rahmat bagi sekalian alam; Benarlah Islam sebagai agama Hanif yang diperakui dan diredhaiNya sepertimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19 “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang mencakupi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat.

Kegemilangan umat Islam silam seperti yang tercatat dalam tinta sejarah dunia jelas menunjukkan bahawa kehebatan umat Nabi Muhammad adalah terhasil daripada program tamrin,tanzim dan tarbiyah Nubuwah yang terencana dengan begitu halus dan rapi sehingga terbentuknya satu generasi yang digelar sebagai Generasi Al Quran yang cukup istimewa.

Generasi Al Quran ini telah membelanjakan seluruh kehidupan mereka untuk berjihad membawa cahaya dan panji-panji kebenaran Islam agar dapat dikecapi oleh manusia sejagat. Perjuangan dan pengorbanan mereka untuk membebaskan penghambaan sesama makhluk kepada pentauhidan terhadap yang Maha Esa; Menyelamatkan kekalutan nilai sosial ekonomi zaman Jahiliyah kepada kehidupan yang aman dan sejahtera dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sesama insan….. .

Alangkah sedihnya kegemilangan ketamaddunan terbina dek Generasi Al Quran ini gagal dipertahankan kelangsungannya. Umat Islam hari ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan mereka berbanding umat lain. Bahkan mereka bercakaran sesama sendiri; Perpecahan, peperangan saudara, pertelingkahan ideologi politik, penindasan dan pembolotan hasil ekonomi dan lain-lain lagi.

Kenapa boleh terjadi segala kekalutan dan kepincangan ini ??? Jawapannya umat ini telah meninggalkan ajaran dan petunjuk Al Quran ! Al Quran tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam merencana dan menentukan hala tuju setiap program,projek dan aktiviti kehidupan insan muslim. Hawa nafsu dan logical akal mendominasi setiap tindakan dan polisi yang digubal. Terikut-ikut dan terperangkap dalam teori dan ideologi golongan kuffar dalam mengurus tadbir negara dan ehwal umat Islam ; Umat ini telah kehilangan jati diri ; Hidup miskin dalam negara yang kaya dengan sumber hasil bumi. Menagih ihsan dan menjadi pengguna hasil rekacipta sains dan teknologi bakan Islam.

Bilangan umat ini ramai sepertimana yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah tetapi umpama air buih selepas banjir yang tiada kekuatan yang terumbang-ambing; Ramai yang menjadi hidangan diratah kerakusan golongan kuffar.

Adakah ini ciri-ciri khairul ummah seperti yang digambar dalam Al Quran ? Sesungguh umat ini mulia, kuat, gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam. Mereka membaca,meneliti dan menganalisa setiap ayat suci untuk dijadikan pedoman dan kunci kejayaan segala urusan duniawi dan ukhurawi mereka. Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al Quran telah diakui oleh perdana menteri Britain yang pertama “ Selama mana kitab ini (Al Quran) berada di tangan orang Islam,maka selama itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur Tengah”

Al Quran merupakan benteng terakhir agama yang menjaga keaslian dan kebenaran Agama Allah ini. Selama mana dipetahankan ajarannya maka selama itulah Islam akan kukuh di jiwa penganutnya. Jika Al Quran telah terpisah jauh daripada umat Islam,maka akan hilanglah kekuatan umat Islam. Akan tetapi jika umat Islam berpegang teguh dengan Al Quran,musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya.

Apabila Al Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa,maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya,tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh sempena menyambut hari Nuzul Al Quran tahun ini, setiap lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau perempuan, tua atau muda,kaya atau miskin kembalilah kepada Al Quran yang maha suci ini menerusi aktiviti dan program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Usaha kembali kepada Al Quran ini perlu dilakukan secara kolektif dan terancang oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Insya’ Allah dengan kesungguhan dan kesepaduan semua lapisan umat Islam dalam menghayati ajaran Al Quran, Generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan,yang disegani kawan dan dihormati lawan bakal menjelma lagi untuk membawa panji-panji keagungan Islam ke arah pembentukan sebuah Daulah Islamiah yang baik dan senantiasa beroleh keampunan Ilahi serta menabur khidmat bakti untuk umat manusia seluruhnya. Amin !

Disediakan oleh :

Mohamad Yusof Ong bin Abdullah
Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor

Sumber : http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=632&Itemid=1
0

7 Ramadhan

Damai dan mempersona. melempar pandangan ke langit yang terbias cahaya² neon jalanan. mengukir senyum ke gumpalan awan. angin berhembus. ucapku, terima kasih. alhamdulillah, izin Tuhan, masih diberi kesempatan menikmati bulan keberkatan hinggalah malam 7 Ramadhan.

Dekat, hampir dan menusuk kalbu. suara bilal memanggil untuk bersolat maghrib. untuk pertama kalinya di Ramadhan ini berimamkan imam pertama. terlalu menghayati. tenang. seperti berada di awanan.

Kelainan untuk kali ini. gemersik sayu, syahdu menusuk kalbu. teringat orang yang tiada di mata. menukar suara imam kepada suara yang sangat dirindu. menghayati butir perkataan ayat suci kitab Allah. rindu suara merdu. oh angin, sampaikanlah rasaku.
0

Re-schedule My Ramadhan

alhamdulillah. hari ini hari keempat. semoga Allah kuatkan untuk hari-hari akan datang. supaya yang mendatang lebih baik dari sekarang.

jadual takde, tetiba re schedule. hoho. mcm berangan je. kehidupan lebih baik ada peraturan kot, takdela sewenang-wenangnya ikut hati je. rasa nk buat, buat. rasa xnak, tinggal. dengan adanya jadual, kalau malas, kena buat jugak. kerana jadual umpama janji. (^_^)V

let's improve our self. setiap masa harus ada peningkatan. jika salah, maka perbetulkanlah. jika khilaf, maka mohonlah maaf. mengekalkan diri dalam kesilapan & gagal menunduk ego pada menerima kebaikan adalah satu kerugian besar. manakan tidak, sudah tahu salah, tidak mahu mengaku salah, bahkan bodoh sombong pula. boo untuk diri sendiri. :-P

***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** ***** *****

saya sebenarnya tak sedia nk buka blog. sbb saya sendiri tak tahu bagaimana saya mampu untuk balance diri dari melakukan kesilapan; mengguris hati orang (mungkin). menilai-nilai tulisan, mungkin ada yg keterlaluan. Ya Allah, ampunkanlah. maafkan saya. :(

saya juga punya janji yang saya sendiri lemah untuk hadapi. tapi haruslah kuat, mahu jadi srikandi besi. walaupun saya juga masih punya perasaan manusia. saya mahu tinggalkan keseronokan kerana Allah. saya percaya, saya lemah andai kurang kebergantungan kepada Allah.

mengingat-ingat dan menghayati penyampaian ukhti berkenaan "Ramadhan fi quluubina", saya rasa malu sendiri. malu pada Allah, malu pada manusia. rasa hina diri tatkala terzahir kejahilan.

"nafsu perlu ditarbiyah. apa yang kita tidak suka, itu yang kita kena buat!"


Ya Allah, pegang hati kami. kuatkan kami. pelihara kami. T_T
0

Ramadhan Yang Penuh Keberkatan

Sungguh, sama sekali tidak bohong. rugilah manusia yang sempat bertemu Ramadhan, lantas mensisa-siakannya. seolah tidak bersyukur dan merasa untung diberi peluang melalui bulan yang penuh berkat ini. bilang saja berapa ramai yang dijemput kembali ke sisi Allah, tatkala takdir tertulis bahawa dia tidak punya kesempatan untuk Ramadhan 1433H. teguh di Luh Mahfuz. yang tersurat cuma Dia yang maha tahu.

Maka, ucaplah : ALHAMDULILLAH atas nikmat kurniaNya. masih bernafas lega, masih beryawa sempurna.


Puasa merupakan satu kaedah pemulihan diri; mendidik nafsu, memenjarakannya daripada nikmat jasadiah dan melarikan diri ke hutan demi mencapai tahap kemalaikatan. ia adalah pertolongan Allah buat manusia; hambanya yang juga makhluk bergelar khalifahNya yang unik. ditambah pula pensyariatan kefardhuan puasa adalah di bulan Ramadhan yang mulia.

Ramadhan bulan istimewa; bulan ibadah, bulan kerahmatan, bulan keampunan. pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala tertutuplah pintu neraka. berhenti azab siksa kubur. digandakan amal perbuatan seharian. syaitan² pula dibelenggu.

Malam yang dinanti seluruh perindu; lailatul qadr. maksud firman Allah :
"1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadr.
2. Dan tahuka kamu apakah malam kemuliaan itu?
3. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
4. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan.
5. Sejahterlah (malam itu) hingga terbit fajar."
[QS 97 : 1-5]

Banyak juga peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan, seperti perang badar, turunnya al-Quran dan lain-lain.

Istimewa Ramadhan, bukan. maka, haruslah rasa untung dan syukur diberi kesempatan. lantas, buktinya?

Jom, pertingkatkan amalan di bulan pesta ibadat! perbaiklah Ramadhan kita, agar tidaklah ia berlalu dengan sia-sia. rugi, sangat rugi!

Salam Ramadhan~
0

Moreh

Alhamdulillah. selesai puasa hari ketiga. semoga Allah terima amalan² kita, insyaAllah.

Hari 1 - tersangat letih. konon la puasa, kan. lepas asar, belek² kt almari dapur, xde kelapa. cancel hajat nk buat kuih tadi. masuk kamar, tidur. eh, baca 'buku'.

Hari 2 - mcm bese la, dok rok. ikut ke dia sapa 30 ramadhan pun gini kot. naik solat asar, tgk nana&ben siap² nk keluar beli sayur. "nk ikut ke?" "em, x kot. nk buat kueh." (cey, alasan. eh, tapi mmg ada niat dh.)

Duk mengingat resepi sukat²an puding tu. failed bhg gini! huh. bt muka x malu je telefon tanya kak mursyidah. sekali resepi dia bagi macam pelik. tengku dgn senang hati men tibai je guna telur sebiji. tak henti gelak tengok dia dgn konfiden pukul telur sebiji tu.

"mu ni biar betul," ketawa saya masih panjang.
"gi la masak agar!" marah nada dia. x puas hati kot. ;p
"banyak mana ni?" saya masih konfius dgn resepi dia pakai.
"separuh. masuk gula sekali," arahannya sayup terdengar dari dalam bilik.
"gula banyak mana?"

"letak la secawan!"

Dengan konfius yg bertambah-tambah, saya kurangkan sukatan. saya tak percaya dia kalau bahagian gula. dan hasilnya ....... :)




Hari 3 - saya teringat ni. wah, berjaya! tak pernah buat ia sendirian. tolong orang je biasa.


moreh, jom! :)
bubur gandum pun ada. terbaik lah.
Back to Top