0

PemBERSIHan untuk Anak-anak Masa Depan

Anak mata yang berkaca-kaca itu kurenung.

Melihat tembus ke wajah bercahaya zuriatku yang empat.

Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah, Muhammad Imaduddin dan Ahmad Muizzuddin.

Renungan itu mencetus kacau di dalam jiwa. Ada resah, ada gelisah dan kelam diselubungi kesah.

Usiaku sudah separuh pergi. Apa yang tinggal adalah butir-butir masa yang kini disulam uban tanda hidup bukan lagi zaman mencuba-cuba. Pendirian hidup harus tersuluh jelas, arah tuju harus selesai ditentu. Aku tidak boleh menoleh ke kiri dan kanan berbelah bagi, kerana hidupku bukan lagi aku sendiri.

Aku adalah seorang bapa. Bahawa dengan kebapaanku, aku datangkan empat nyawa ke alam kehidupan… dengan izin-Nya.

Aku membawa Muhammad Saiful Islam ke dunia nyata.

Aku membawa Naurah Sabihah berkelana di pesada maya.

Aku membawa Muhammad Imaduddin hadir bersama.

Aku membawa Ahmad Muizzudin ke safar buana.

Aku adalah bapa mereka, dan imam kepada sebuah amanah bernama keluarga.

MASA DEPAN

Dalam usiaku yang berbaki di hujung bilangan jari, ke masa depan yang bagaimanakah anak-anakku bakal hadapi?

Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang megah dengan pencakar langit yang mengoyak jiwa hamba manusia yang menghuni? Apakah aku mahu menghantar anakku ke masa depan yang bangga dengan bilangan masjid yang sama banyak dengan pusat serenti? Atau aku mahu menyediakan sebuah kehidupan yang ada segala-galanya buat mereka…. kecuali damai, selamat, sejahtera, tenteram yang semua itu pernah dianggap tidak bermakna?

Mampukah anakku melihat cahaya ESOK jika HARI INI penuh korupsi? Mampukah anakku mengecap bahagia, jika teladan SEMALAM tidak ditoleh lantaran alpa?

Demi ESOK yang kuimpikan buat anak-anak yang kubawa ke kehidupan ini, aku harus bijak bertindak di HARI INI.

Setiap undi adalah benih. Apa yang kau ingin anakmu tuai?

Dengan SEMALAM yang penuh iktibar dan cukup panjang tanpa perlu dipanjangkan lagi, aku mesti KELUAR MENGUNDI.

Aku memilih rencana kemanusiaan, keadilan, ketelusan, kebersihan dan kebajikan. Bukan kemajuan yang saban tahun dicangkuk sekadar umpan!

Sebelum benih undian kusemai, semak dan samun perlu diBERSIH.

Pilihanku… adalah masa depan anak-anakku…

Oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

0 comments:

Catat Ulasan

Back to Top